BEBASKAN SERTA-MERTA: AKTIVIS GLOBAL SUMUD FLOTILLA!

KENYATAAN MEDIA
MAJLIS BELIA NEGERI SELANGOR
2 OKTOBER 2025

Majlis Belia Negeri Selangor (MBS) mengecam sekeras-kerasnya tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis Israel yang telah menahan aktivis kemanusiaan daripada misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang sedang berlayar untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Gaza, Palestin.

Tindakan penahanan ini adalah pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa, khususnya hak laluan selamat di perairan antarabangsa serta prinsip perlindungan misi kemanusiaan yang sewajarnya dihormati oleh semua pihak.

Penahanan aktivis Global Sumud Flotilla ini adalah tidak sah dan mesti dihentikan segera. Para aktivis ini merupakan sebahagian daripada misi kemanusiaan aman yang bertujuan membantu rakyat Palestin yang sekian lama dizalimi, ditindas dan dinafikan hak asasi mereka.

MBS berdiri teguh bersolidariti bersama Majlis Belia Malaysia (MBM) dan seluruh gerakan belia, menyeru masyarakat antarabangsa, pertubuhan belia antarabangsa, majlis belia, serta jaringan global khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk bersatu menentang tindakan yang tidak sah dan zalim ini. Belia mesti bangkit bersuara mengecam serangan ini serta mempertahankan prinsip keadilan, solidariti, dan keamanan. Para aktivis yang ditahan mesti dibebaskan tanpa syarat, dan keselamatan mereka wajib dijamin.

MBS turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus menunjukkan solidariti dan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin serta semua petugas kemanusiaan yang mempertaruhkan nyawa demi menegakkan keadilan dan hak asasi manusia sejagat.

Dalam masa yang sama, MBS menyeru seluruh masyarakat, khususnya golongan belia, untuk terus membanjiri media sosial dengan suara kecaman terhadap tindakan IDF serta terus lantang bersuara demi kemanusiaan. Setiap ciapan, perkongsian, dan seruan solidariti adalah senjata moral untuk memberi tekanan berterusan kepada rejim Zionis agar menghentikan kezaliman mereka.

MBS menegaskan bahawa perjuangan membela Palestin bukan semata-mata isu agama, tetapi merupakan perjuangan kemanusiaan sejagat yang memerlukan perhatian serta tindakan daripada semua warga dunia yang cintakan keadilan dan keamanan.

DATO’ MOHD IMRAN BIN TAMRIN
PRESIDEN
MAJLIS BELIA NEGERI SELANGOR

BERITA

AKHBAR

© 2025 Majlis Belia Selangor. All rights reserved.